Sunday, February 8, 2015

Peperiksaan SPA Perangkawan Gred E41

Peperiksaan ini bertujuan mengukur daya pemikiran serta kebolehan calon mengaplikasi maklumat yang diperolehi melalui latihan akademik, bacaan dan pengalaman. Calon calon yang menduduki peperiksaan adalah dari pelbagai jurusan terutama perangkawan Gred E41. 

Maka soalan-soalan yang dikemukakan meliputi pelbagai bidang dan mempunyai skop yang luas. Matlamat peperiksaan ini adalah untuk mengukur kematangan pemikiran calon agar sesuai dengan kualiti serta potensi seorang Perangkawan Gred E41.

Peperiksaan ini melibatkan lima kertas berasingan. Setiap kertas adalah penting kerana mengukur calon dalam satu atau dua aspek sahaja. Calon-calon perlu menunjukkan prestasi yang baik bagi kesemua kertas. Jika prestasi yang sangat baik dipamerkan pada satu atau dua kertas sahaja maka prestasi keseluruhan calon kurang memuaskan. 

Namun, jika calon mendapat markah yang menggalakkan bagi setiap kertas, maka prestasi keseluruhan dianggap baik. Oleh itu, calon-calon dinasihatkan supaya tidak memfokus kepada kertas tertentu sahaja. 

Kelulusan peperiksaan ini merupakan satu daripada syarat lantikan ke skim tersebut. Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia termasuk lulus ’Assessment Centre’ akan ditemu duga.


PANDUAN UMUM

1. Pada hari Peperiksaan calon hendaklah membawa:

(i) Surat Panggilan Menduduki Peperiksaan Khas
(ii) Kad Pengenalan
(iii)Pensil 2B, pen dan pemadam lembut
(iv) Peralatan lain yang difikir perlu.

2. Calon perlu berada di Pusat Peperiksaan tiga puluh (30) minit sebelum peperiksaan dimulakan.

3. Calon perlu mematuhi arahan Ketua Pengawas.

4. Calon tidak dibenarkan berkomunikasi dengan calon-calon lain. Sila angkat tangan jika ada masalah atau pertanyaan.

5. Calon hanya boleh meninggalkan Pusat Peperiksaan tiga puluh (30) minit selepas peperiksaaan dimulakan.

6. Jawapan hendaklah dibuat dalam:

(i) Kertas OMR - bagi Seksyen A, B
(ii) Kertas tulis SPA - bagi Seksyen C dan D

7. No. Kad pengenalan pada kertas jawapan hendaklah sama seperti dalam Surat Panggilan Menduduki Peperiksaan.

8. Rujukan kepada mana-mana bahan adalah TIDAK dibenarkan.

9. Calon mesti berpakaian kemas, sopan dan tidak menjolok mata.

10. Penggunaan mesin kira adalah TIDAK dibenarkan.


SUKATAN PEPERIKSAAN

Peperiksaan ini dibahagikan kepada lima (5) seksyen iaitu:

(i) Seksyen A - Pengetahuan Am Mengenai Sosio-demografi dan Ekonomi Malaysia.
(ii) Seksyen B - Daya Menyelesaikan Masalah
(iii) Seksyen C - Laporan Bahasa Melayu
(v) Seksyen D - Laporan Bahasa Inggeris

SEKSYEN A - PENGETAHUAN AM MENGENAI SOSIO-DEMOGRAFI DAN EKONOMI MALAYSIA

Masa : 40 minit
Bilangan Soalan : 50

Seksyen ini bertujuan untuk menguji pengetahuan calon berkenaan senario sosio-demografi & ekonomi Malaysia dan global. Calon dikehendaki mengetahui secara umum perkara berkaitan dengan statistik, ekonomi, sosial, kewangan, teknologi, pentadbiran kerajaan dan isu-isu semasa. Soalan- soalan adalah bercirikan pengetahuan am yang perlu diketahui oleh calon yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kepujian di dalam pelbagai bidang akademik. Calon-calon perlu peka kepada perkembangan semasa melalui media masa dan bahan bacaan yang lain.

SEKSYEN B -DAYA MENYELESAIKAN MASALAH

Masa : 45 minit
Bilangan Soalan : 40

Dalam seksyen ini calon dikehendaki menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan menggunakan;

(i) Kemahiran Logik
Dalam seksyen ini calon dikehendaki menggunakan segala pengetahuan yang ada, kemahiran berfikir serta kemahiran mengaplikasi maklumat-maklumat tersebut untuk memilih jawapan yang tepat dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan.

(ii) Kemahiran Menginterpretasi Data
Calon diberi beberapa soalan menyelesaikan masalah yang menggunakan perangkaan. Perangkaan yang diberi perlu dianalisa untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan. Penggunaan graf, jadual dan sebagainya digalakkan agar mudah untuk calon memberi jawapan.

(iii) Konsep-konsep Matematik
Konsep matematik yang perlu digunakan merangkumi algebra dan geometri. Asas-asas matematik tersebut tidak melebihi Sukatan Pelajaran Menengah Atas (SPM). Oleh yang demikian soalan-soalan ini dianggap sesuai untuk kesemua calon.

Calon-calon siswazah jurusan matematik tidak mendapat kelebihan di seksyen ini kerana soalan-soalan yang dikemukakan merupakan soalan logik. Proses penyelesaian masalah tersebut mengaplikasikan konsep-konsep matematik di peringkat Sukatan Pelajaran Menengah Atas (SPM).

SEKSYEN C - LAPORAN BAHASA MELAYU

Masa : 1 jam 20 Minit
Bilangan Soalan : 1
Panjang Esei : Bebas

Seksyen ini bertujuan untuk mengukur kebolehan calon menganalisis data dan menguasai penulisan dalam Bahasa Melayu. Daya kreativiti dalam menganalisis data turut diberi penekanan. Penilaian adalah berdasarkan pendapat-pendapat calon yang disusun dengan jelas, teratur dan munasabah. 

SEKSYEN D - LAPORAN BAHASA INGGERIS

Masa : 1 jam
Bilangan Soalan : 3 jawab 1
Panjang Esei : 200 hingga 300 perkataan

Seksyen ini bertujuan untuk mengukur kebolehan calon menganalisis data dan menguasaipenulisan dalam Bahasa Inggeris. Daya kreativiti dalam menganalisis data turut diberi penekanan. Penilaian adalah berdasarkan pendapat-pendapat calon yang disusun dengan jelas, teratur dan munasabah.

No comments:

Post a Comment